Thursday, 24 January 2013

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434H

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Saudara dan Saudari sekalian,

Sesungguhnya kelahiran baginda Rasulullah SAW merupakan satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam di seluruh dunia. Maka pada 12 Rabiulawal 1434 Hijriah bersamaan dengan 24 Januari 2013 Masehi, sekali lagi kita meraikan sambutan yang penuh barakah ini di negara kita.

Rasulullah SAW merupakan pemimpin terunggul ummah yang begitu menyayangi umatnya dengan meninggalkan Al-Quran dan As Sunnah sebagai petunjuk kehidupan manusia sepanjang zaman. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 15 yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

Rasulullah SAW adalah qudwah yang mengamalkan wasatiyyah dalam hidupnya. Bertepatan dengan tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”, kita melihat konsep wasatiyyah yang baginda tunjukkan telah melahirkan kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia. Kesederhanaan yang diamalkan oleh baginda telah membawa kepada momentum dalam memacu kemajuan setiap bangsa dan negara di dunia ini.

Justeru, momentum ini perlu diteruskan untuk memastikan misi kita untuk membina negara maju dan berdaya saing mampu untuk dicapai. Sememangnya keyakinan mengenai kemampuan Malaysia dalam merapatkan hubungan antara barat dan Islam sepertimana yang diutarakan oleh bekas Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN (Dr. Surin Pitsuwan) adalah contoh kejayaan pendekatan wasatiyyah yang diamalkan oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani pelbagai isu dan konflik di rantau ini. Kita yakin amalan kesederhanaan yang diamalkan Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara Islam lain bagi menyelesaikan isu serantau. Kejayaan negara sebagai mediator dalam krisis selatan Filipina membuktikan Malaysia dihormati bukan saja dalam kalangan negara Islam, bahkan negara Barat.

Saya sendiri telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Negara Palestin bagi menunjukkan sokongan penuh kita terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis di Gaza dan kita percaya pembentukan kerajaan perpaduan di antara Hamas dan Fatah merupakan kunci kepada kejayaan perjuangan masyarakat Palestin. Malaysia bersedia membantu ke arah ini.  Hakikatnya dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai suara pendamai yang penting. Makanya, kita perlu mengekalkan negara kita sebagai kerajaan yang berwibawa dan dihormati pada peringkat antarabangsa.

Mengakhiri perutusan, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam kepada baginda Rasullullah SAW sebagai tanda kasih dan sayang kita terhadap baginda. Sesungguhya Rasulullah SAW merupakan insan yang paling unggul dan hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat. Saya mendoakan, agar sambutan Maulidur Rasul kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya-Allah.

Wabillahi Taufik wal Hidayah. Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Source: 1malaysia.com.my)

No comments:

Post a Comment