YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2013
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2013
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,
1. Pertama-tamanya, bersamalah kita dengan penuh rasa
syahdu menggemakan takbir dan kalimah-kalimah tahmid bagi menyambut
detik kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’
Saudara dan saudari,
2. Alhamdulillah, kita rafakkan rasa syukur tidak
terhingga, bersempena hari lebaran penuh syahdu dan barakah ini.
Pastinya, segala ini mampu dinikmati dek kerana keamanan, kemakmuran
serta keharmonian yang wujud. Tentunya juga, dengan izin Allah SWT,
kita dalam keadaan bebas daripada peperangan, persengketaan, mahupun
bencana alam melampau sepertimana yang melanda saudara-saudara seakidah
di beberapa negara seluruh dunia.
3. Justeru, setiap seorang daripada kita perlu
menginsafi betapa bukannya mudah untuk membina tapak seterusnya
mempastikan keberlangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia
hari ini. Pucuk pangkalnya, benarlah kata orang bijak pandai bahawa
perpaduan bukannya barang boleh diganti, perpaduan bukannya barang yang
boleh dijual beli. Jelas sekali, perpaduan nasional yang mapan adalah
tunjang kepada haluan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang
dijangkakan sekitar 7 tahun lagi.
Saudara dan Saudari,
4. Dalam konteks Islam pula, perpaduan nasional yang
tuntas tidak mungkin dicapai oleh umat jikalau tiadanya ijmak di dalam
perkara-perkara asas beragama, ditambah pula polemik tanpa kesudahan
yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Makanya, pada hari-hari
kebesaran seperti ini, atas nama negara yang tercinta, pupuklah dan
teruskanlah menyemai bibit-bibit kesatuan sesama kita, bukannya
perpecahan demi pengukuhan perpaduan kebangsaan.
5. Kata orang, yang baik jadikan teladan, yang buruk
jadikan sempadan. Ini merujuk kepada apa yang dapat kita saksikan di
pelbagai sudut dunia, di mana ketidakstabilan dan di mana fahaman
melampau, menjadi elemen negatif yang sedang memporak-perandakan
sesebuah negara bangsa, hatta menghancurkan kelestarian tamadunnya.
Sesungguhnya, kita hendaklah beringat-ingat bahawa untuk membina sebuah
peradaban memerlukan tempoh yang panjang. Namun, untuk meranap dan
merudumkannya hanyalah dalam sekelip mata.
Saudara dan Saudari,
6. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai
Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang
tertinggi negara, tetapi juga syiar pengamalannya bersifat meluas
merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah
dan jinayah. Melaluinya, kita berjaya mengamalkan Islam sebagai cara
hidup yang syumul di negara ini.
7. Dalam konteks yang sama juga, Malaysia adalah
negara Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. Maka, umat Islam di
Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan
Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian.
Kerajaan juga memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada
pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak
dan Undang–Undang Islam, dengan demikian penyebaran apa–apa ajaran yang
lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah dilarang.
8. Penetapan dasar ini sesuai dengan konsep maqasid
syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya.
Dalam hal sebuah negara, sememangnya tanggungjawab menjaga keluhuran dan
kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sinilah Kerajaan
Malaysia berperanan menjalankan prinsip memelihara agama dan mentadbir
negara berteraskan siyasah syar-iyyah.
9. Lantaran itu, sebagai umat Islam, kita haruslah
memahami bahawa penetapan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah sebagai mazhab rasmi
negara adalah bertujuan untuk mempastikan kesucian akidah dan syariah
Islam dapat dibela sekaligus dipertahankan agar perpaduan umat Islam
sentiasa berkekalan. Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam
supaya berwaspada dan berhati-hati, janganlah sesekali terpedaya pada
pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan
tradisi amalan Islam di Malaysia ini.
10. Sejak dahulu, perkembangan syiar Islam di
Nusantara dan Malaysia khususnya, menjadi lambang betapa Islam adalah
agama yang syumul. Berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, Islam adalah cara
hidup yang paling sesuai dengan fitrah manusia dan sesuai untuk semua
zaman serta situasi. Dengan demikian, sebagai umat Islam, kita
seharusnya berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman yang menyongsang
daripada ajaran murni Ahli Sunnah Wal-jama’ah selama ini. Pokoknya, kita
tidak mahu sifat taksub dan fanatik yang akan mengelirukan rakyat
khususnya orang Islam kerana akan memecahbelahkan ummah.
Saudara dan Saudari,
11. Makanya, saya menyeru kepada seluruh rakyat
Malaysia, untuk mengambil yang jernih dengan meruntuhkan dan
merungkaikan prejudis antara satu sama lain. Bukalah pintu hati dan
pintu rumah dengan jujur dan ikhlas dalam meraikan perayaan Aidilfitri.
Pada yang berkelapangan teruskanlah tradisi kunjung-mengunjung dan
mempertautkan muhibbah rakyat Malaysia.
12. Dalam pada itu, rahmat kesejahteraan yang
tercipta, telah membolehkan kita menyambut hari raya dalam suasana
damai. Sebab itu, marilah kita juga sama-sama mengucapkan terima kasih
yang tidak terhingga kepada prajurit tanah air terutamanya yang bertugas
di perbatasan, serta anggota pasukan keselamatan yang sejak sekian lama
telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan keamanan
dan kedaulatan negara.
13. Akhir kalam, pada kesempatan ini, saya turut
menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya,
isteri serta keluarga di atas apa-apa kekhilafan. Saya juga berdoa ke
hadrat Allah SWT supaya kita semua dapat menyambut hari lebaran ini
dengan penuh kegembiraaan di samping mereka yang tersayang.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(Source: http://www.1malaysia.com.my)
No comments:
Post a Comment