Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa
Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di
Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA,
sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan
Bumiputera yang tiada pernah hentinya.
Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan,
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia,
terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang,
mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum
Ke-13… untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih
mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional,
telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali
apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti
komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus
ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan
datang,…. demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air
tercinta ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita
mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan
hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa
depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah
darah kita.
Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan
puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan
dan puan-puan……, Yes… indeed!!!… we hear you… we hear you loud and
clear.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31
haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu
padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan
Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan
ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua,
kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas
Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota
Kinabalu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970,
Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu
terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi
kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di
Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.
Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut
bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan
Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu,
malah muallaf bertakrif Melayu, waima…. Mamak dan Malabari pun……. dah
serap ke Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang
Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera
Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat
keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012, menganggarkan warganegara
Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah
18.6 juta atau 67.9 peratus.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi
Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan
perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya,
perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial
sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana
dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi,
dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153,
Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga
Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada
agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya,
sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau
mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak
saksama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan
baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan
beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini
kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa
diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi
keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi
negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada
tahun 2020.
Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan
ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan
sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia
berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan
ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan
mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui
penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika
sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai
pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang
memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan
punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru,
telah dan sedang membawa malapetaka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Jika dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB
telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak,
Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara
etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.
Begitulah Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di
antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun
2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka
Panjang telah dilaksanakan.
Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati
tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan
Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga
telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan
Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai
Wawasan 2020 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sejak merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai
instrumen dan institusi demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank
Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA,
PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga
yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad
dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.
Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan
Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni
Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang
menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula,
Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan
pembangunan ekonomi wilayah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara,
Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi,
dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan
Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju
menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi
memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip
pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi
mempastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada
pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.
Manakala, Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada
tahun 2011 yang lalu hingga 2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan
peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik
mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua
aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran,
berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi
yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Kerajaan juga telah memperkenalkan Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk
satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan.
Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus
mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak
menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara
berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
Apa yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan
secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan
adanya pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara
kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana,
taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata
bulanan isirumah Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun
1970an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus
dalam jangkamasa 42 tahun.
Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan
daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an kepada 2.2 peratus pada tahun
2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat
daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an kepada 23.5 peratus pada
tahun 2011.
Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga
tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional,
terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para
jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.
Ini membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah
awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan
sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad,
masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih
wujudnya jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh,
pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi
berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat
pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus.
Effective control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada
sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat
Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan
majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro.
Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan…….
atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan
Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini…., maka, …. pada
hari ini…….., Kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi
melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit
lagi tuntas.
Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita
namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini,
kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan
Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya……..
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi
utama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek
terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya
telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di
institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu,
fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus
kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan
pasaran.
Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja
yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan
memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang
kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat
pekerjaan.
Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan
dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan
kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk
mengendalikan program latihan. Manakala bilangan program latihan yang
dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah
dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.
Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang
mengganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi
mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan
industri. Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan
1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju
Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera
berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam
dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi
memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan
berteknologi tinggi.
Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan
profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan
Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan
diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai
tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang
kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli
sains aktuari.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu
dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu
ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan
menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan
Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh
Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit
saham.
Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk
mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya
Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan
kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera
supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan
aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks
komersial. Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman
yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan
hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan
nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan
seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak
diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan
menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset
berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan,
untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.
Peranan institusi-institusi hartanah seperti
Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan
Nasional Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh
hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di
seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Di samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan
masyarakat Bumiputera untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah
lagi dengan harga pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah
memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera,
kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta
Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan
Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada
Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72
peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera.
Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan
bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan
keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing.
Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan
diperkukuhkan untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman,
kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di
kawasan bandar.
Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan
GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan
kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah
kedai dan premis komersial.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan
merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan
kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan
tersebut masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang
dihadapi termasuk teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses
kepada dana dan modal serta pasaran produk yang terhad.
Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi
usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan
Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan
PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima
akan bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan
pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit
untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang
majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500
ribu orang pada tahun 2015 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana
tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan
usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu
pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami
kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan
semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor
Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan
Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya
maju dan mampan.
Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa
kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik
pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor
atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh
rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam
sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor
komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global
Ventures untuk sektor perladangan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya
mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas
penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada
vendor.
Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI
kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor
minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan
akan menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan
downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya
syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang
bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan
di sektor upstream dan downstream.
Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya
mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan
sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat
memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan
melalui GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera
yang akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan
perindustrian yang berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam
konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa
konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan dan Puan-puan,
Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya
menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang
berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit
Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk
mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang
berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.
Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat
Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk
bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan
kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC.
Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak
47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat
Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah
dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan
Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan
Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu
Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya
saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga
perlu mempunyai minat yang tinggi serta passionate dalam menyertai
bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy
seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau.
Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik
dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau
ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu
syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringit akan
diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.
SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga
500 ribu ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif
dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang
besar.
Pemilihan entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini
adalah berdasarkan merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel
entrepreneur di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu,
entrepreneur baru yang terpilih akan turut mendapat perkhidmatan
mentoring daripada entrepreneur yang sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar
luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap
penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi
mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat
dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan diperkemas dan
diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan
konstruktif.
Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB
akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini
bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda
Bumiputera.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya
ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa
memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah
Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah
menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya
diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak
pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
Kendatipun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus
ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau
sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini.
Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan
jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun
menafikan kepentingan sesiapa.
Ladies and Gentlemen,
Certainly!… We are doing what is fair,… we are doing
what is right…, and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak
mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap
bangsa-bangsa lain.
Sayugia, yang tertanam di benak sanubari saya dan
kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana
kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta
dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan
saksama.
Bahkan, kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga
ke-20 sebagai negara paling stabil dan aman di dunia……………, Begitulah
istimewa dan uniknya Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Pucuk pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita
adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh
lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera
atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
Kita juga tidak seperti sesetengah pelaku politik,
yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan
memesongkan pemikiran rakyat.
Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan
terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang
dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya
dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang
berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam…. Barang
dijauhkan oleh Allah jua…..
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sebagai mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan
kita berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini
bukan untuk suka-suka……… Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku….
makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita,
sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan.
Bahkan….., masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu
berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun
2005………, saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM
ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015.
Kini,…… Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
Pagi ini pula………, saya ingin mengumumkan hasrat
peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada
250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan
beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Demi Melayu……, Demi Bumiputera…….., Saya ingin
mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion
ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan,
keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini
berbentuk Matching Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan
Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Kita juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan
harapan yang tinggi kepada TERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan
Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan
yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai
Perdana Menteri, dengan diketuai oleh seorang Menteri atau seorang Ketua
Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri.
Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan
Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut
Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan
TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau
SUPERB yang baru saya wujudkan tadi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini,
sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan
ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis
Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan
Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan
keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat
kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang
releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang
sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi
Bumiputera ini….., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah
berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,…… selagi ada bulan dan
bintang,………. selagi hayat dikandung badan,…………. survival Melayu dan
Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai
bila-bila.
Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah
memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin
dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP MELAYU…….. HIDUP BUMIPUTERA…….. HIDUP MALAYSIA…….
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
(Source: http://www.1malaysia.com.my)
No comments:
Post a Comment