By | : | DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA |
Venue | : | ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR |
Date | : | 19/03/2013 |
Title | : | GTP/ETP ANNUAL REPORT |
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
- Pada malam ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya selaku ketua kerajaan dan bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil perkembangan prakarsa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.
- Kedua-dua prakarsa bermula masing-masing pada tahun 2010 dan 2011 adalah bersama-sama dengan Program Transformasi Politik atau PTP dan Program Transformasi Sosial atau PTS. Ia membentuk Dasar Transformasi Nasional bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, menjelang tahun dua ribu dua puluh.
- Alhamdullilah, suka saya melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar.
- Perancangan dan pelaksanaan ETP dan GTP bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Rakyat terbanyak serta semua pihak yang berkepentingan boleh, melalui proses perundingan dibuat menyumbang melalui makmal-makmal yang diadakan dalam proses pembentukan GTP dan ETP. Mereka juga mampu menilai pencapaian kedua-dua prakarsa ini melalui laporan tahunan dan laporan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
- Mungkin ada yang bertanya, bagaimana rojak kependekan ini mampu menyentuh kehidupan kita? GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP? Apa hubungkaitnya dengan tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Jawapannya ialah, semuanya dirangka serta digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.
- Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada yang terbaik dalam kehidupan. Pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin tinggi pula ganjarannya.
- Pendidikan yang bermutu bermula dari pra sekolah lagi, untuk mengoptimakan potensi diri, perkhidmatan kesihatan yang terbaik, prasarana awam yang mencukupi dan pemilikan rumah yang selesa serta berkemampuan untuk berlindung dan membesarkan anak-anak.
- Jelasnya, kerajaan ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini ialah kerajaan yang menepati janji. Kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya. Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang. Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji.